Tugas berat sedang menanti skuad Terengganu FC apabila dijadualkan menentang KL City pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Walaupun memiliki kelebihan dua gol namun ia masih belum cukup selamat untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Malah, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu turut kehilangan dua tonggak tengah sekaligus memberikan sedikit kelebihan kepada KL City.

Mereka kehilangan pemain import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang digantung satu perlawanan susulan menerima dua kad kuning.

Tambah memeningkan kepala apabila seorang lagi perancang dari Filipina, Omid Nazari mengalami kecederaan hamstring dan mungkin terpaksa diketepikan malam ini.

Ketiadaan dua pemain tersebut menyebabkan Tomislav tiada pilihan lain dan bakal mempertaruhkan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi untuk mengetuai bahagian tengah.

“Saya sudah membayangkan beberapa nama yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan pemain kelahiran Uzbekistan itu, paling hampir ialah Liridon Krasniqi yang bermain dengan baik ketika menentang Sri Pahang FC Ahad lalu, dia mungkin bergandingan dengan Habib Haroon di bahagian tengah.

“Ini kerana saya tidak mahu mengubah begitu banyak posisi dan corak permainan melainkan apa yang saya perlu sahaja, lagipun saya begitu gembira kerana terdapat ramai pemain yang mampu beraksi dengan baik sebagaimana ketika menentang Sri Pahang FC, jadi saya tidak perlu bergantung kepada Tukhtasinov dan Nazari,” katanya dalam Harian Metro.

Tomislav Steinbrückner terengganu
Sumber Gambar: Terengganu

Liridon sebelum ini menjadi mangsa kecaman penyokong Terengganu apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi separuh akhir Piala FA 2023 menentang lawan yang sama pada bulan Jun lepas.

Beliau mensia-siakan peluang keemasan untuk mara ke final apabila melakukan sepakan lemah yang mudah ditepis oleh penjaga gol KL City, Azim Al Amin.

Aksi malam ini adalah peluang terbaik Liridon untuk menebus kembali kesilapan itu dengan membawa Terengganu mara ke final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).